Rasa diri disayangi dan dicintai oleh seseorang itu sangat bermakna buat diri kita yang dahaga kasih sayang sesama manusia. Perasaan cinta dan sayang ini lahir dari hati yang tulus dan ikhlas.
Cinta yang dikehendaki oleh Allah ialah cinta kerana Allah sepertimana hadis daripada Mu‘az bin Anas al-Jahni yang meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa sahaja yang memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah dan menikah kerana Allah, maka bererti ia telah sempurna imannya.” (Riwayat al-Hakim)
Daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa pun tidak akan merasakan manisnya iman, sehingga ia mencintai seseorang hanya kerana Allah semata.” (Riwayat al-Bukhari)
Berikut antara sifat-sifat orang yang mencintai saudaranya kerana Allah:
1. Mendoakan saudaranya
Ingatan yang tulus itu tergambar dengan iringan doa kepada sahabatnya walaupun kita tidak berada bersama-samanya. Ganjarannya sangat besar untuk kedua-duanya. Diriwayatkan bahawa nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mendoakan saudaranya pada saat dia tidak bersama-samanya, maka malaikat yang diamanahkan untuk memjaga dan mengawasinya berkata: ‘Semoga Allah mengabulkan dan bagimu semoga mendapat yang sama dengannya.”(Riwayat Muslim)
2. Mengunjungi
Disunatkan bagi kita mengunjungi saudara kita untuk bertanya khabar dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim. Kunjung-mengunjungi dengan hadir bersama buah tangan dapat menguatkan lagi rasa sayang dan menjadi tanda bahawa kita mengambil berat tentang dirinya.
3.Memberi Bantuan
Pertolongan dan bantuan segera dihulurkan kepada saudara kita yang memerlukan. Kita seharusnya sentiasa berusaha membantu memenuhi keperluan saudara Muslim yang lain dan berusaha menghilangkan segala kesusahannya. Kepayahan dan kesusahan yang dialami oleh saudara kita itu dapat ditempuhi bersama. Kita akan berasa bahagia apabila saudara kita bahagia.
4. Melakukan Perkara yang Disukai
Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam kitab al-Saghig Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menemui saudaranya yang Muslim dengan menampakkan perkara yang disukainya kerana ingin membahagiakannya, maka Allah akan memberikan kebahagiaan kepadanya pada hari kiamat.”
5. Penampilan Wajah Berseri-Seri
Seorang Muslim menemui saudaranya dengan wajah yang berseri-seri dikira sebagai satu amal kebaikan. Diriwayatkan daripada Abu Zar, ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Janganlah meremehkan kebaikan sedikit pun, walau sekadar bertemu dengan saudaramu dengan wajah yang berseri- seri.” (Riwayat Muslim)
6. Memberikan Hadiah
Memberi buah tangan atau hadiah kepada saudara kita sangat digalakkan. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Kalian harus saling memberi hadiah, maka kalian akan saling mencintai.” (Riwayat al-Bukhari)
Termasuk memberikan balasan hadiah yang setimpal adalah jika seorang Muslim mengatakan kepada saudaranya:
“Jazakaflah khairan” ertinya semoga Allah membalasmu dengan kebaikan. Al-Tirmizi meriwayatkan daripada Usamah bin Zaid, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang diberi kebaikan kemudian ia berkata kepada orang yang memberikan kebaikan: ‘Jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sungguh dia telah memberikan pujian yang sangat baik.”
7. Memberi Maaf
Bermaaf-maafan antara saudara harus menjadi amalan semua umat Islam kerana ia akan memelihara keharmonian sejagat. Kita juga tidak harus menyimpan rasa dendam kerana ia akan menimbulkan kebencian. Kebencian akan membuatkan umat Islam berpecah belah. Tidak ada manusia yang tidak melakukan kesilapan. Dengan memberi maaf, semoga kita juga akan dimaafkan.
8. Menyimpan Rahsia
Wajib menjaga rahsia seorang Muslim. Abu Daud dan al-Tirmizi meriwayatkan daripada Jabir, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Jika seseorang berkata kepada orang lain dengan suatu perkataan, kemudian ia menoleh (melihat sekelilingnya), maka pembicaraan itu adalah amanah.” Amanah ini merupakan perkara yang amat berat untuk dijaga.
MAHMUDAH VS MAZMUMAH
BANGUN AWAL
Hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Berpagi- pagilah kalian (memulakan aktiviti pada awal pagi) untuk mencari rezeki dan keperluan. Sesungguhnya ia membawa keberkatan dan kejayaan.” (Riwayat al-Tabarani)
Siapa sangka di sebalik saranan Nabi s.a.w. supaya bangun awal pagI untuk beribadah padanya, terselit hikmah kesihatan dan magnet menarik rezeki. Mengapa begitu?
Ini kerana mereka yang bangun awal dapat memulakan hari dengan lebih bertenaga dan bermotivasi untuk melakukan kerjaseharian. Bagi pelajar, belajar dan mengulang kaji pada awal pagi lebih memberikan suasana yang segar dan nyaman untuk menerima ilmu. Tetapi harus diingat, bagi mendapatkan dan memulakan hari dengan baik, tidur yang cukup harus diutamakan.
Mereka berada dalam golongan yang berjaya kerana bijak mengatur masa. Mereka bangun seawal pagi bagi mengambil keberkatan. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang bertakwa ditempatkan di dalam taman-taman syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka.
Sesungguhnya mereka di dunia dahulu orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).” (Surah al-Dhariyat 51: 15-18)
Berhati-hatilah dalam memberi masa tidur kepada diri sendiri. Tidur yang mencukupi sekitar 6-8 jam sehari. Sekiranya tidur kurang atau lebih daripada itu, badan akan letih dan lesu.
BANGUN LEWAT
Jika difikirkan tentang tanggungjawab yang perlu diselesaikan sehari-hari sudah tentu kita tidak mahu terlewat bangun tidur. Kata-kata Imam Hasan al-Banna bahawa tanggungjawab yang perlu dilunasi melebihi masa yang ada, harus direnungi. Sayangnya, apabila ada juga yang mengambil kesempatan hari cuti sebagai masa untuk “membalas dendam”, lalu tidur sehingga terlebih batasan waktu.
Bayangkan setiap hari kita habiskan masa dengan menonton televisyen atau bersembang perKara yang sia-sia sehingga lewat malam ataupun melayari Internet tanpa tujuan baik yang jelas, hasilnya bukan sahaja kita terlewat tidur dan bangun tidur, malah kita melakukan solat Subuh “gajah”! Lebih sedih lagi, solat Subuh tersebut luput ditelan waktu, langsung tidak diganti tanpa rasa bersalah. Esok pula diulangi perbuatan yang sama kembali.
Mengapa ini berlaku? Sedarkah bahawa ini perkara mazmumah yang kita buat sehari-hari? Adakah kerana ia telah biasa dilakukan sehingga menjadi tabiat? Maka, mulakan esok dengan hari baru yang lebih memberi manfaat. Marilah membuat perubahan dan teruskan membaiki diri serta mengajak orang lain untuk membaiki diri mereka.
Semoga hidup kita lebih diberkati Allah dan terhindar daripada golongan yang rugi.
Sesiapa yang amalannya pada hari ini lebih baik daripada semalam, dia adalah orang yang beruntung. Sesiapa yang amalannya pada hari ini sama dengan hari semalam, dia daripada golongan yang rugi. Sesiapa yang hari ini lebih buruk daripada semalam, dia tergolong dalam golongan yang dilaknat oleh Allah s.w.t.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Wahai anakku, bangunlah dan hadapilah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi daripada kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia antara terbit fajar hingga terbit matahari.” (Riwayat al-Baihaqi)