Select Page

Marilah menuju kejayaan

Kali ini, saya akan berkongsi pelajaran adab yang saya peroleh daripada guru saya. Persoalan akhlak dan adab ialah persoalan semasa yang perlu kita fahami dan hayati bersama kerana kelemahan adab dan akhlak akan membawa kepada keruntuhan tamadun dan peradaban.
 
Masyarakat akan berhadapan dengan krisis nilai dan budaya, bilamana persoalan adab tidak lagi dititikberatkan. Sedangkan kesempurnaan akhlak adalah inti pati risalah Rasulullah s.a.w., sepertimana sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” (Riwayat al-Baihaqi)
 
Hadis ini seolah-olah memberi petanda bahawa menyempurnakan akhlak ialah misi kedatangan Rasulullah s.a.w. Baginda hadir untuk memperbaiki akhlak, mendidik umat supaya beradab mulia serta mengajar pekerti mulia dan terpuji.
 
Adab Pembina Peradaban
 
Tidak sedikit yang lebur keangkuhan mereka apabila melihat pekerti mulia Rasulullah s.a.w. Ramai yang terpesona dengan kelembutan peribadi Rasulullah s.a.w. Musuh juga terpegun dengan ketinggian himmah Rasulullah s.a.w.
 
Kesantunan Baginda kepada yang tua dan sifat penyayang Baginda kepada yang muda tiada tolok bandingnya. Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada kita betapa kita akan berjaya menakluki jiwa-jiwa manusia dengan ketinggian budi dan adab, lebih berkesan daripada menggunakan kekerasan dan paksaan.
 
Manusia yang beradab ialah manusia yang akan berjaya membangunkan peradaban (atau tamadun). Inilah rahsia kekuatan dan kejayaan peradaban Islam yang kita bangga-banggakan, selama lebih separuh alaf (hampir 700 tahun) mentadbir dunia, kerana pada waktu itu, umat Islam amat menitikberatkan persoalan adab dan peradaban dalam menguruskan tamadun manusia.
 
Yang lebih utama, bukan sekadar membangunkan tamadun, tetapi untuk membina jalan menuju Tuhan. Adab juga ialah jalannya. Tiada jalan lain untuk menuju Tuhan, melainkan melalui jalan mujahadah, tarbiah dan tarqiyyah.
 
Pendidikan adab dan akhlak akan meningkatkan diri seorang hamba, dari tahap yang rendah ke tahap yang lebih tinggi, mendaki kepada Tuhannya.
 
Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadis Baginda yang bermaksud: “Yang paling hampir kedudukan seseorang denganku di syurga nanti adalah yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat al-Bukhari)
 
Tamadun dan peradaban, hanya mampu dibangunkan oleh mereka yang mempunyai akhlak dan adab yang tinggi. Adab mulia sesama makhluk hakikatnya ialah pancaran jiwa yang beradab dengan Tuhannya. Manusia yang tahu beradab dengan Penciptanya, pasti akan mampu beradab dengan makhluknya.
 
Serius Menjaga Adab
 
Sejauh mana kita menjaga adab dengan Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w.? Apakah kita benar-benar merasai kita ini hanyalah hamba Allah s.w.t. yang daif, zalil (hina), fakir (serba kekurangan) dan haqir (sentiasa memerlukan)? Atau kita sering mendabik dada mendakwa itu dan ini, mengangkat kehebatan din‘, menongkat langit dan menghentak bumi dengan penuh ego dan kesombongan?
 
Sedarlah, bahawa adab seorang hamba dengan Tuhannya perlu sentiasa merendah diri, membuang kesombongan dan keangkuhan, mencabut takabbur dan bongkak, jauh daripada mendabik dada dan mendakwa kuat dan hebat, kerana kita semua lemah dan fana di hadapan Allah s.w.t.
 
Begitu juga adab dengan Rasulullah s.a.w., harus kita pelihara. Jika kita membaca surah al-Hujurat, di sana ada ayat yang menegur para sahabat yang meninggikan suara dalam majlis Rasulullah s.a.w. Bagaimana dengan kita? Jika kita masih berani mencabar kehebatan Rasulullah s.a.w., mempertikai amalan dan sunnah Baginda s.a.w., memperlekeh risalah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. dan memandang enteng persoalan adab dan akhlak, maka di manakah kedudukan kita?
 
Oleh sebab itu, jika kita berkata ingin kembali kepada Allah s.w.t. dan hendak ikut perjalanan Rasulullah s.a.w., maka kita mestilah bermula dengan memiliki adab terhadap Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w.
 
Beradablah dengan Allah s.w.t. dengan sebaik-baik adab seorang hamba. Berakhlaklah dengan Rasulullah s.a.w. dengan setinggi-tinggi kecintaan kepada Baginda s.a.w. Bermuamalatlah dengan manusia dengan pekerti mulia dan budi yang tinggi. Semoga kita bertemu dengan Tuhan pada akhir perjalanan usia kita.
 
TESTIMONI KETINGGIAN AKHLAK RASULULLAH S.A.W.
 
Allah s.w.t. menyebut dalam al-Quran, melalui firman-Nya yang bermaksud:
 
“Seungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah s.a.w. itu contoh ikutan yang terbaik (uswah hasanah).” (Surah al-Ahzab 33: 21)
 
“Sesungguhnya engkau (Rasulullah s.a.w.) benar-benar berbudi pekerti agung (khuluqin ‘azim) (Surah al-Qalam 68: 4)
 
Apabila Ummul Mukminin Sayidatina Aisyah r.ha. diminta meneuangkan keperibadian Rasulullah s.a.w., maka jawapannya adalah dengan ungkapan yang masyhur ini:
 
“Sesungguhnya akhlaknya ialah al-Quran.” (Riwayat Ahmad)
 
Peribadi Rasulullah s.a.w. ibarat gambaran al-Quran yang hidup. Kehidupan Baginda s.a.w. ibarat mentafsirkan ajaran al-Quran. Keindahan cahaya al-Quran terpancar pada wajah dan sinar akhlak Baginda. Setiap perilaku dan tindakan Baginda bertepatan dengan al-Quran dan menjadi sunnah ikutan.