Perkataan ‘KURSI’ membawa maksud ‘Tempat Duduk yang Megah Lagi yang Mempunyai Martabat’. Iaitu syiar atas kebesaran Allah yang meliputi 7 lapis langit dan 7 lapis bumi. Ayat kursi merupakan ayat utama dalam Al-quran. Rasulullah saw meminta kita sebagai umatnya mengamalkan membaca ayat ini. Abu Hurairah mengatakan bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud ” Di dalam surah Al-Baqarah ada satu ayat yang menjadi kepala kepada semua ayat-ayat Al-quran, tidak dibaca ayat tersebut di dalam rumah yang ada syaitan di dalamnya melainkan ia keluar daripada rumah tersebut iaitu ayat kursi.
Pada suatu hari Saidina Umar Al-Khattab keluar melihat orang-orang sedang duduk berkumpul, maka beliau bertanya, “Siapakah di antara kamu yang dapat menerangkan ayat apakah yang terbesar dalam Al-quran?”. Ibn Mas’ud menjawab, “Anda telah mendapatkan orang yang mengetahuinya, saya telah mendengar Rasulullah saw bersabda : Ayat terbesar dalam Al-quran ialah (permulaan ayat kursi hingga akhir)” – Hadis Diriwayat Marduyah
Malah sesiapa yang membaca ayat kursi dengan istiqamah setiap kali selesai sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali masuk ke dalam rumah atau pergi ke pasar, setiap kali masuk ke tempat tidur dan musafir, In Shaa Allah akan diamankan dari godaan syaitan dan kejahatan raja-raja (pemerintah) yang kejam, diselamatkan dari kejahatan manusia dan kejahatan binatang yang memudharatkan. Terpelihara dirinya dan keluarganya, anak-anaknya, hartanya, rumahnya dari kecurian, kebakaran dan kekaraman. Selain itu, dari Hasan bin Ali berkata : Telah bersabda Rasulullah saw : Sesiapa yang membaca ayat kursi di akhir setiap solat fardhu ia akan berada dalam perlindungan Allah sehingga solat yang lain.
Terdapat keterangan dalam kitab Assarul Mufidah, barang siapa yang mengamalkan membaca ayat kursi , setiap kali membaca sebanyak 18 kali, In Shaa Allah ia akan hidup berjiwa tauhid, dibukakan dada dengan berbagai hikmat, dimudahkan rezekinya, dinaikkan martabatnya, diberikan kepadanya pengaruh sehingga orang selalu segan kepadanya, dipelihara dari segala bencana dengan izin Allah swt. Syeikh Abul ‘Abas AlBunni juga menerangkan : “Sesiapa membaca ayat kursi sebanyak hitungan kata-katanya (50 kali), ditiupkan pada air hujan kemudian diminumnya, maka In Shaa Allah Allah mencerdaskan akalnya dan memudahkan faham pada pelajaran yang dipelajari.
Barang siapa membaca ayat kursi ketika hendak tidur, maka Allah mewakilkan dua malaikat yang menjaga selama tidurnya sampai pagi. Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Bahawa ayat kursi ini ialah penghulu ayat-ayat Al-quran dan sesiapa yang mengamalkannya akan terpelihara dirinya daripada bala bencana dan daripada gangguan syaitan serta mendapat pahala yang besar. ” – Riwayat Bukhari dan Muslim
Sesiapa yang membaca ayat kursi selepas sembahyang fardhu, Allah akan mengampunkan dosanya. Sesiapa yang membacanya ketika hendak tidur, terpelihara dari gangguan syaitan dan sesiapa yang membacanya ketika marah, maka akan hilang rasa marahnya. Manakala, Syeikh alBunni menerangkan : Sesiapa yang membaca ayat krusi sebanyak hitungan hurufnya (170 huruf), maka In Shaa Allah, Allah akan memberi pertolongan dalam segala hal dan menunaikan segala hajatnya, dan melapangkan fikirannya, diluluskan rezekinya, dihilangkan kedukaannya dan diberikan apa yang dituntutnya.