Pertanian adalah salah satu sumber ekonomi yang banyak memberi pulangan lumayan kepada usahawan. Nabi Adam adalah usahawan bidang pertanian yang pertama menceburi bidang tersebut sebagai sumber rezeki keluarga baginda.
Saidina Umar Al Khattab menjadi khalifah, beliau memajukan sistem pertanian dengan membuka tanah-tanah baru dan juga mengadakan projek pengairan, yang mana dilaksanakan di Mesir dan Iraq bagi menambahkan hasil pertanian.
Bidang pertanian adalah bidang yang berpotensi maju dan berjaya. Secara logiknya, keluasan tanah bagi menghasilkan sumber pertanian tidak bertambah, manakala jumlah penduduk dunia sentiasa bertambah dan berkembang biak tanpa henti. Ini menunjukkan permintaan produk pertanian sentiasa bertambah.
Pertanian boleh berkembang dan maju jika dilaksanakan sebaiknya. Hal ini kerana manusia memerlukan makanan dan makanan dihasilkan melalui bidang pertanian. Tiada seorang pun manusia yang hidup di dunia tidak memerlukan makanan, malah golongan vegetarian pun memerlukan sayuran bagi dimakan.
Usahawan perlu berusaha melahirkan pelbagai jenis produk pertanian dengan berkualiti dan mendapat sambutan pengguna seluruh dunia. Kecanggihan pelbagai teknologi dan sumber penyelidikan perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh usahawan.
Disebut dalam sebuah hadis : “Tiada seorang muslim yang bercucuk tanam, lantas buahnya dimakan burung ataupun manusia ataupun binatang melainkan baginya pahala sedekah.” – Direodkan oleh Muslim.
Pada zaman ini, kerajaan menyediakan pelbagai insentif dan bantuan kepada usahawan yang menceburi pertanian seperti kursus dan bengkel, modal pertanian, sumber benih dan pokok, malahan kerajaan juga menyediakan pasaran yang luas dalam dan luar negara.
Memang amat menyedihkan melihat tanah subur seluruh negara dibiarkan subur dengan rumput, duri dan lalang, sedangkan tanah tersebut boleh menghasilkan pelbagai jenis produk. Hasil produk pertanian berjaya menembusi pelusuk dunia jika dihasilkan dengan bersungguh-sungguh dan menepati piawaian produk antarabangsa.
Seperti Saidina Umar Al Khattab memajukan pertanian kerana sedar kepentingan pertanian dan mahu ianya dijadikan sumber ekonomi masyarakat islam pada zaman beliau. Bidang pertanian diabaikan ramai usahawan islam dan menganggap ianya tidak berpotensi untuk maju. Pandangan sedemikian adalah silap kerana ramai usahawan menjadi kaya raya apabila menceburi bidang pertanian.