Select Page

explodingwithwater1600ed7

Mungkin berlaku dalam masyarakat, seorang perempuan menolak amaran seorang lelaki, lalu lelaki tersebut berusaha membalas dendam dengan menggunakan jin dan seumpamanya.
 
Namun jika sudah melangkah ke arah itu, seseorang tidak akan jumpa titik akhir. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Jinn ayat 6 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya ada beberapa orang lelaki antara manusia yang meminta perlindungan daripada beberapa orang lelaki daripada golongan jin, sehingga mereka menjadikan jin bertambah sombong.”
 
Bagi menghindari daripada gangguan jin yang jahat (syaitan), maka hendaklah selalu memohon kepada Allah s.w.t. dan janganlah sampai berjumpa dan meminta bantuan daripada dukun atau bomoh.
 
Orang yang berjumpa dan mendapatkan khidmat tukang-tukang sihir dan meminta bantuan mereka merupakan perbuatan syirik dan kufur. Sebuah hadis riwayat Muslim meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang mendatangi tukang tilik, lalu bertanyakan sesuatu, maka solatnya tidak akan diterima selama 40 malam.”
 
Begitu juga hadis riwayat al-Hakim dan lain-lain meriwayatkan: “Sesiapa yang mendatangi bomoh, lalu membenarkan apa-apa yang diucapkan oleh bomoh, bererti dia mengkufuri apa yang diturunkan kepada Muhammad.”
 
Jauhi Sihir
 
Sihir merupakan ungkapan bagi perkara yang kabur (samar-samar) dan ia sememangnya wujud. Antaranya mampu mempengaruhi hati dan tubuh badan sehingga menyebabkan perpecahan rumah tangga, kesakitan dan kematian.
 
Bagaimanapun pengaruh sihir ini hanya dapat berlaku dengan izin Allah kerana ia merupakan amalan syaitan. Oleh sebab itu,
ilmu sihir tidak dapat dilakukan melainkan dengan mensyirikkan Allah, mendekatkan diri kepada jin dan menurut kehendak jin.  Nabi s.a.w. menyebut sebuah hadis riwayat al-Bukhari yang bermaksud: “Hindarilah tujuh perkara yang boleh membawa kepada kebinasaan.” Para sahabat bertanya: “Apakah ia?” Nabi s.a.w. menyebut (antaranya): “Mensyirikkan Allah dan sihir.”
Menurut Syeikh Mutawalli al-Sya‘rawi rhm. dalam kitab beliau Anta Tas’alu wa al-Islam Yujibu: “Sihir memang ada tetapi tidak banyak diketahui hakikatnya. Banyak perkara di dunia yang diketahui kewujudannya tetapi tidak diketahui hakikatnya. Untuk melindungi manusia daripada golongan jin dan sihir, hendaklah orang yang menggauli isteri membaca doa yang diajar Nabi s.a.w. iaitu:

بِسْمِ اللهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنِي الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ  مَا رَزَقْتَنَا

Maksudnya: “Dengan nama Allah. Ya Allah jauhkanlah aku daripada (gangguan) syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada
rezeki yang Engkau kurniakan kepadaku.” (Riwayat al-Bukhari)
 
Maksud rezeki dalam hadis ini ialah anak (keturunan). Insya-Allah apabila anak itu lahir, tidak akan terkena gangguan syaitan dan sihimya. Manakala bagi bayi sehingga sampai usia kanak-kanak, maka hendaklah selalu didoakan dengan doa berikut:

اللَّهُمَّ إِنِّىْ أَسْتَعِيْذُةُ بِكَ مِنْ كٌلِّ عَيْنِِ لاَمَّةٍ وَمِنْ شَيْطَا نِ وَهَامٌّةٍ

Maksudnya: “Ya Allah, aku melindunginya kepadamu daripada gangguan mata dan daripada gangguan syaitan serta daripada binatang yang berbisa.”
 
Bagi orang dewasa pula, hendaklah selalu memohon perlindungan diri kepada Allah daripada godaan syaitan yang terkutuk atau disebut istia‘zah. Segala gangguan syaitan dan bahaya sihir tidak akan terjadi kecuali dengan izin Allah.
 
Akibat Tidak Mengambil Petunjuk Allah
 
Syaitan tidak mungkin dapat mempengaruhi atau mengukuhkan kedudukannya dalam jiwa seorang manusia melainka jika ia sendiri sudah menyeleweng daripada petunjuk Allah Taala serta keluar dari jalan yang sudah digariskan oleh Allah. Apabila manusia itu sendiri sudah menyeleweng dari jalan yang digariskan dan diredai oleh Allah Taala, maka Allah akan menghukum orang tersebut dengan mengukuhkan kedudukan syaitan dalam hatinya. Lalu syaitan tersebut mengajaknya kepada jalan kejahatan, keburukan dan kerosakan, baik dalam setiap ucapan mahupun perbuatannya.
 
Dalam surah al-Zukhruf ayat 62 yang bermaksud: “Dan janganlah syaitan menghalang kamu (daripada menurut jalan yang benar). Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.” Wallahu a‘lam.