Select Page

130122_ISMIRA1_ID_FATWA_VG

Fitnah ialah satu ujian, dugaan dan cubaan yang didatangkan oleh Allah s.w.t. atas hambanya kepada sesiapa sahaja yangdikehendakinya, dan menjauhkannya daripada  sesiapa jua yang dikehendakinya. Tiada sesiapa  yang mampu menolak ataupun mempertikaikan  ketetapannya.
 
Fitnah terbahagi kepada dua mengikut asal dan sumbernya:
 
1. Ujian yang datang daripada Allah kerana sebab dan hikmah tersebut hanya diketahui olehnya. Contohnya, musibah atau bala bencana yang menimpa seorang hamba sama ada dia seorang yang baik (soleh) atau tidak baik (taleh). Mungkin Allah ingin mengangkat darjat orang yang soleh dan menambah pahala kebaikannya, manakala orang tidak baik pula mungkin kerana Allah ingin menyucikan dirinya dan membersihkan dosanya.
 
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: “Orang paling kuat ditimpa ujian ialah para anbia, kemudian mereka yang seumpamanya.” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi)
 
Ujian tersebut sama ada berbentuk kematian, penyeksaan, kefakiran, pemenjaraan, penyakit dan seumpamanya, atas dirinya sendiri, isteri atau anak-anak.
 
2. Ujian yang berlaku kerana manusia itu sendiri seperti perlakuan maksiat, dosa, pelanggaran syariah dan perbuatan lain yang tidak baik dan tercela.
 
Pembahagian Fitnah
 
Dari sudut jenis fitnah dan keseriusannya, ia terbahagi kepada dua bahagian, iaitu besar atau kecil, dan secara khas atau umum. Ujian kecil yang khas seperti ujian seorang lelaki dalam harta, isteri, anak-anak, jiran, kaum kerabatnya, atau orang yang dengki kepadanya.
 
Ada kalanya sebab terjadi ujian khas ini kerana faktor kesusahan atau terlalu mewah, fakir atau kaya, sihat atau sakit, kuat atau lemah dan sebagainya.
 
Fitnah yang menimpa seseorang kerana sebab-sebab ini amat banyak dan tidak mungkin dapat dihitung kesemuanya secara terperinci. Tetapi, berkemungkinan untuk diberi perhatian dan menyebut beberapa isu yang biasa tersebar dan besar mudaratnya untuk dijadikan asas panduan.
 
Allah s.w.t. telah menerangkan bahawa harta dan anak-anak adalah salah satu ujian dan fitnah. Ia berbeza pada keadaan dan kadar bahayanya. Al-Quran juga telah menyebut tentang permusuhan dan perseteruan antara pasangan suami isteri, sahabat ataupun rakan kongsi sama ada sesama lelaki atau wanita.
 
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan ketahuilah, hartamu dan anak-anakmu hanya sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal 8: 28)
 
Dan firmannya Iagi, mafhumnya “Wahai orang Mukmin, sesungguhnya antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu. Maka, berhati-hatilah kamu terhadap mereka. Jika kamu memaafkan, tidak memarahi serta mengampuni (mereka), sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan (bagimu), dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Surah al-Taghabun 64: 14-15)
 
Gambaran Ujian
 
1. Menjadi penghalang kepada berjuang, bersedekah, berhijrah dan lain-lain jalan kebajikan.
 
Ini merupakan sebab turunnya firman Allah s.w.t. surah al-Taghabun ayat 14-15, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a., ayat ini diturunkan di Madinah berkenaan ‘Auf bin Malik al-Ashja‘i. Beliau telah mengadu kepada Nabi s.a.w. mengenai isteri dan anak-anaknya yang tidak menghiraukannya, lalu ayat ini diturunkan.
 
Riwayat lain pula mengisahkan ‘Auf mempunyai isteri, anak-anak dan keluarga yang ramai. Apabila beliau mahu keluar berperang, mereka semua menangis dan memujuk beliau supaya tidak pergi. Akhirnya, beliau berlembut hati dan tidak pergi. Ibn al-‘Arabi al-Maliki rhm. berkata: “Ayat ini menunjukkan salah satu jenis permusuhan, ia bukan bermaksud musuh yang berseteru pada hakikatnya. Tetapi, perbuatan dan sifat isteri atau anak-anak seseorang itu telah menjadikannya seolah-olah seorang musuh kerana tiada perbuatan atau sikap yang lebih buruk daripada menghalang seorang hamba daripada melakukan ketaatan kepada Allah.” (Tafsir al-Qurtubi)
 
Para anbia sangat bimbang akan fitnah yang daripada ahli keluarga. Contohnya kisah kekasih Allah, Nabi Ibrahim a.s. datang menziarahi anaknya; Ismail a.s. di Makkah, baginda tidak bertemu dengannya dan hanya menemui si isteri sahaja. Lalu baginda mendapati menantunya itu seorang yang mementingkan kebendaan(materialistik) dan tiada sifat bersyukur dan memadai dengan apa yang ada, baginda bersabda, maksudnya: “Tukarlah pintu rumah kamu,” bermaksud sebagai kinayah (kiasan) untuk menceraikannya.
 
Fitnah ini bukan terhad kepada isteri dan anak-anak, ia mungkin juga terjadi daripada pihak suami kepada isteri dan bapa kepada anak-anaknya. Fitnah ini lebih besar dan dahsyat kerana dia (suami atau bapa) yang berkuasa atas mereka.
 
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan adapun pemuda itu, kedua-dua orang tuanya ialah orang Mukmin, dan kami khuatir dia akan mendorong kedua-dua orang tuanya itu kepada kesesatan dan kekafiran.” (Surah al-Kahfi 18: 80)
 
2. Tekanan hidup memaksanya melakukan pekerjaan yang haram dan syubhah.
 
 
Ini adalah satu fitnah dan ujian yang amat merbahaya yang boleh menimpa seseorang manusia. Maka, wajib atasnya
untuk menjaga diri dan keluarga daripada memakan rezeki yang haram dan boleh membawa mereka ke neraka.
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Setiap daging yang tumbuh daripada hasil yang haram, maka nerakalah tempatnya.” (Riwayat al-Tirmizi)
 
Apabila Rasulullah s.a.w. melihat cucunya al-Hasan memakan tamar daripada tamar sedekah yang diharamkan atas Baginda s.a.w. dan ahli keluarganya, Baginda terus menyuruhnya meluahkan kembali. (Riwayat al-Bukhari)
 
Begitu juga apabila Sayidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. mengetahui hambanya membawa kepadanya makanan hasil pekerjaannya menilik pada zaman jahiliah, beliau berkata: “Jika makanan ini tidak keluar semula dari perutku, aku akan mengoreknya sehingga ia terkeluar bersama-sama nyawaku!”
 
3. Tidak berlaku adil kepada sebahagian isteri dan anak-anak. Ini termasuk pembahagian kasih sayang, perhatian, jawatan atau harta.
 
Rasulullah s.a.w. melarang perkara ini dan memberi suatu peringatan keras tentangnya, sebagaimana kisah Bashir bin Sa‘ad r.a. Beliau ingin memberi sebuah kebun kepada anaknya al-Nu‘man. Rasulullah bertanya kepadanya adakah beliau memberi kepada semua anaknya yang lain dengan seumpamanya juga.
 
Apabila beliau mengatakan tidak, Baginda s.a.w. terus bersabda: “Jangan jadikan aku ini saksi atas satu kezaliman. Carilah orang lain sebagai saksinya.” (Riwayat al-Bukhari)
 
4. Tidak sabar dan tabah apabila diuji dengan harta, isteri dan keluarga.
 
Apabila ujian menimpa, dia tidak cuba untuk bersabar dan mula berkeluh-kesah. Rasulullah s.a.w. menasihati seorang wanita yang kematian anaknya supaya tabah dan bersabar, wanita itu (yang tidak mengenali Baginda) menjawab: “Pergi engkau dari sini. Jika kamu ditimpa sepertiku, kamu juga akan begini.” Lantas, Baginda meninggalkannya. Apabila wanita tersebut tahu ia adalah Rasulullah s.a.w., beliau terus pergi berjumpa dengan Baginda. Dia meminta maaf atas perkataannya.
 
Lalu, Baginda bersabda: “Sesungguhnya, sabar itu ketika berlakunya pukulan (ujian) yang pertama daripada bala.” (Riwayat al-Bukhari) Oleh sebab itu, bagi orang yang tabah dan sabar adalah pahala dan ganjaran yang amat besar.
 
5. Terlalu mengikut kehendak yang melampau dan mengabaikan perkara yang wajib.
 
Contohnya seperti memanjakan anak anak dengan kemewahan harta benda atau kerap melancong, sedangkan banyak Iagi perkara wajib yang tidak ditunaikan seperti zakat tidak dikeluarkan, haji atau umrah masih belum dilakukan, nafkah yang wajib tidak diberi dan sebagainya.
 
6. Seseorang itu menjadi penakut atau bakhil kerana anak atau keluarga.
 
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Isteri dan anak-anak boleh menjadikan seseorang itu penakut atau bakhil.” (Riwayat Ibn Majah)
 
Contohnya, tidak mahu mengeluarkan derma atau sedekah kerana takut anak- anak tidak cukup makan, mahu menyimpan untuk masa depan anak-anak, tidak mahu keluar berjuang atas alasan nanti mereka kehilangan bapa dan sebagainya.
 
7. Anak atau isteri menjadi punca penderhakaan terhadap ibu bapa.
 
Asalnya, anak-anak menjaga dan memberi perhatian kepada ibu bapa. Namun selepas mempunyai anak dan isteri, tanggungjawab ini “hilang” dan beralih kepada anak dan isteri sepenuhnya tanpa wujud keseimbangan antara kedua-duanya.
 
8. Sibuk menguruskan anak dan isteri sehingga cuai dalam ibadat kepada Allah.
 
Keadaan inilah yang sering berlaku terhadap mereka yang terlalu asyik dengan urusan keluarga sehingga mengabaikan kewajipan utama bagi setiap hamba iaitu beribadat kepada Allah s.w.t.
 
Hikmah Fitnah
 
Ujian atau fitnah mempunyai hikmah yang sangat besar. Ia sebagai kafarah (penghapus kesalahan) bagi seorang hamba atau untuk mengangkat darjatnya. Oleh sebab itu, setiap ujian itu mesti dihadapi secara rasional, bijaksana, sabar dan mengikut lunasnya.
 
Kesalahan yang dilakukan oleh setiap manusia adalah berbeza, maka kafarahnya juga berbeza. Jika ia berbentuk dosa kecil, ia akan dihapuskan dengan segala amalan baiknya seperti solat, puasa, haji, sedekah dan seumpamanya. Jika dosa besar pula, ia memerlukan istighfar dan taubat dengan syarat-syarat yang tertentu.
Firman Allah s.w.t.: “Sesungguhnya, amal kebaikan itu menghapuskan keburukan yang dilakukan. Inilah peringatan bagi mereka yang mengingati Allah.” (Surah Hud 11: 114)