Select Page

Ramadhan puasa– Oleh Nurzamir Zakaria

Salam Ramadhan dan selamat berpuasa kepada seluruh muslimin dan muslimat tak kira di mana sahaja anda berada. Moga puasa tahun ini luar biasa berbanding tahun-tahun yang lalu, diampunkan segala dosa kita sekaligus menempah syurga idaman daripadaNya yang Maha Agung.

Bersempena di bulan yang penuh keberkatan ini, izinkan saya berkongsi dengan anda tentang satu poster yang saya hasilkan sebelum tibanya Ramadhan. Tak disangka, poster yang tak seberapa ini mendapat liputan yang hangat sehingga media di TV juga menyiarkan beberapa hari yang lalu. Saya hanya pohonkan kebaikan ini daripada Allah. Moga segala usaha yang kecil ini diberikan ganjaran olehNya.

Berikan saya peluang untuk saya menghuraikan satu persatu akan posisi di dalam gambar di bawah. Sengaja saya bawakan konsep puasa dengan perlawanan bola sepak. Pertamanya, kita sekarang berada di musim ‘Demam Bola’. Kedua, saya perhatikan, susunan dan strategi puasa ini tidak jauh bezanya dengan sebuah perlawanan bola sepak. Tidak dinafikan, puasa sebenarnya jauh lebih besar dari bola sepak.Peta Ramadhan

Formasi yang betul akan memberikan kita kelebihan dan peluang untuk menjaringkan gol serta kekal menang ke atas pasukan lawan. Ini kerana, pasukan kita sebenarnya berhadapan dengan pasukan kerdil, suara kecil yang tak berguna bernama Nafsu FC. Mereka sangat licik dan hebat mencari ruang dan peluang agar dapat mengalahkan kita, sekaligus tidak mahu kita mencapai piala taqwa yang menjadi igauan, impian dan sasaran kita. Andai kita tewas, belum tentu peluang yang kita ada sekarang mampu diulangi kembali.

Sebelum kita dipermain-mainkan oleh pasukan kerdil ini, mari kita kenal pasti apakah langkah -langkah yang perlu diperkuatkan bagi merebut kejuaraan sekaligus menundukkan Nafsu FC.

Kita mulakan dengan posisi pertahanan. Saya letakkan PUASA sebagai penjaga gol. Maklumlah, semua orang bila tiba bulan Ramadhan akan berpuasa. Melainkan mereka yang memang sangat berkeinginan untuk menaiki kenderaan jenazah atas sebab tidak puasa. Puasa secara asasnya adalah menahan diri dari lapar dan dahaga. Sepertimana posisinya, penjaga gol tidak boleh sepi keseorangan bermain. Siapa nak bawa bola ke depan untuk menjaringkan gol? Penjaga gol hanya boleh menjaringkan gol sendiri sekiranya dia seorang diri bermain.

Bagi menguatkan pasukan pertahanan, saya bawakan TIDAK MENGUMPAT ORANG LAIN. Alhamdulillah, puasa mulut bukan sahaja daripada menahan kemasukan makanan dan minuman, akan tetapi kita menahan daripada mengeji saudara se-Islam.

Mengumpat juga jangan ingat hanya dengan lisan, bahkan menulis status, mengomen dan apa sahaja tulisan kita juga boleh menjadi bahan umpatan jika ia menjuruskan ke arah itu. Pasukan kita dikuatkan lagi dengan kehadiran

TIDAK MENONTON RANCANGAN

HIBURAN. Tidaklah saya meletakkan kesalahan yang maksimum sekiranya kita menontonnya. Tetapi di bulan yang Al-Quran diturunkan ini, bukankah lebih baik kita menonton Al-Quran berbanding rancangan hiburan? Berganda-ganda pahala yang disediakan bagi yang melihat Al-Quran, apatah lagi yang membacanya?

TIDAK MARAH KETIKA BERPUASA

Mengambil posisinya dibenteng pertahanan. Di bulan lain mungkin kita seorang yang pemarah. Jalan sesak marah, lampu merah marah, tiada parking marah, makanan habis marah dan boleh dikatakan semua yang negatif kita akan marah.

Nabi selalu mengingatkan bahawa insan yang kuat itu bukanlah dia yang kuat bergusti, tapi mereka yang boleh menahan api kemarahan itulah sebenarnya manusia yang kuat. Oleh itu, tukar marah kepada satu zikir. InsyaAllah lama-kelamaan ia akan menjadi satu kebiasaan dan marah hilang dari dunia hidup kita.

Tidak dinafikan muzik adalah salah satu alat untuk menenang dan mendamaikan. Akan tetapi, jika kemasukan muzik terlalu banyak juga boleh membuatkan seseorang itu leka dan lalai. Tetapi ini semua tidak berlaku pada isi kandungan Al-Quran. Makin didengar, makin manis dan mengasyikkan. Benarlah pada peringkat permulaan penurunannya, Allah berkata bahawa Dia akan mencampakkan satu benda yang sangat berat kepada Rasulullah S.A.W. Oleh itu, tidak salah kiranya di bulan yang mulia ini, kita tahan diri kita dengan KURANG MENDENGAR MUZIK SEMASA BERPUASA. Lebih baik beralih mendengar bacaan Al-Quran atau sirisiri tazkirah di TV atau radio. Cek sekeliling anda, adakah alunan Al-Quran sudah kedengaran atau belum.

Seterusnya, kita beralih ke posisi tengah. Posisi tengah adalah posisi yang agak susah jika nak dibandingkan dengan posisi pertahanan dan juga serangan. Adakalanya dia perlu naik untuk menghantar bola ke atas membantu serangan dan adakalanya dia perlu turun untuk menguatkan jentera pertahanan. Tidak dinafikan, dalam sesetengah pasukan bola sepak, bukan semua penyerang yang menjaringkan gol bahkan posisi tengah juga mampu untuk menghasilkan gol bagi kumpulannya. Oleh itu posisi ini perlu kepada stamina yang kuat dan tahap kesabaran yang luar biasa.

Kita mulakan dengan BERSEDEKAH. Terlalu banyak di dalam Al-Quran perintah Allah tentang sedekah. Ia akan lebih bermakna sekiranya kita faham bahawa sedekah adalah salah satu cabang memberi.

Tidak ada manusia yang sempurna di kalangan kita, termasuklah diri kita. Jadi kita pilih untuk memberi. Makin banyak kita beri, makin ramai yang akan mendoakan kita. Andai kita langsung tidak pernah memberi, bagaimana orang akan mendoakan kita sekalipun kita sudah mengadap Ilahi? Sebab itulah bersedekah ini sangat berat bagi yang belum mencuba.

Bagi yang sudah memulakannya, ada hari mungkin anda naik dan ada hari mungkin anda turun. Kesesuaiannya, ia berada di posisi tengah sebab memerlukan daya tahan yang tinggi apatah lagi anda mampu untuk memberi perkara yang paling dicintai.

Anda akan faham “The more you give, the more you get” bila anda mula untuk memberi. Jentera tengah dikuatkan lagi dengan ZIKIR DAN ISTIGFAR. Ya Allah, sangatlah berat lisan ini kadang-kadang ingin berzikir dan meminta ampun. Kenapa lisan ini sangat ringan untuk menabur kekejian dan membenihkan umpatan, tapi tidak mesra untuk sebuah ucapan enak yang berat ditimbangan Al-Mizan dan disukai di sisi Al-Rahman? Sambil menunggu untuk berbuka, mari kita luangkan masa sekejap untuk berzikir. Alangkah indahnya di bulan yang mulia ini, kita pohonkan keampunan berbanding dengan mulut dan tangan yang masih bebas bermaki-makian.

Hubungan SILATURRAHIM sengaja saya letakkan di posisi tengah dibantu oleh 2 pemain di atas. Menjaga silaturrahim adalah perkara yang tidak boleh dipandang ringan. Sepatutnya di bulan yang penuh barakah ini, silaturrahim makin kuat dikalangan kita semua. Memberi orang lain berbuka puasa, bersedekah, memberi salam dan senyuman ini semuanya penguat silaturrahim. Tapi peliknya, masih ada manusia yang dengan mudah memusnahkan silaturrahim antara insan. Tidakkah dia tahu bahawa sesiapa yang mengekalkan silaturrahim akan dipanjangkan umurnya oleh Allah. Oleh itu, jaga silaturrahim yang sedia ada dan tambahkan lagi hubungan yang erat sesama insan.

Alhamdulillah, kita sekarang masuk ke posisi yang penting untuk menjaringkan gol. Posisi serangan ini mesti sentiasa berada di hadapan. Fokusnya adalah untuk menjaringkan gol. Ia tidak seharusnya turun ke bawah kecuali dalam keadaan sangat kritikal dan memerlukan khidmat untuk bertahan. Bagi pasukan lawan, biasanya mereka akan cuba lemahkan pemain serangan kita agar gol tidak berjaya membolos ke gawang mereka.

Ayuh kita cek siapakah yang layak berada di posisi ini Posisi serangan pertama yang dipertanggungjawabkan
adalah berusaha untuk KHATAM AL-QURAN. Pelbagai cara cuba dikongsikan oleh mereka yang berpengalaman sebulan menghabiskan 30 juzuk. Bulan Ramadhan adalah bulan turunnya Al-Quran menjadi pemisah antara yang hak dan yang batil. Bagi yang belum biasa, biasakan dengan setiap kali selepas solat dengan satu muka bacaan. Lama-kelamaan insyaAllah, bacaan itu akan menjadi semakin ringan jika kita istiqamah menuturkannya.

Peluang 30 atau 29 hari berpuasa tidak harus disia-siakan tanpa menghabiskan 30 juzuk Al-Quran. Penyerang biasanya perlu fokus kepada jaringan. Jangan mudah lembik dan selalu menendang arah yang bukan ke gawang.

Penyerang tadi akan dibantu juga dengan posisi kiri serangan iaitu SOLAT TARAWIH. Tiadalah keinginan untuk membincangkan berapa rakaat yang perlu dibuat tetapi buat atau tidak itulah yang harus diketengahkan. Posisi ini kebiasaannya sangat berapirapi pada separuh masa pertama tapi menyedihkan staminanya makin lama makin berkurangan bermula separuh masa yang kedua dan seterusnya. Benarlah kata Baginda kesayangan kita semua, “Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan dosanya yang terdahulu”. Maka, bukan senang rupanya dosa seseorang itu mahu diampunkan jika dia tidak berusaha ke arah itu.

Beruntunglah bagi mereka yang dapat beribadat pada malam Al-Qadr. Kerana tarawih dan Al-Qadr tiada pada bulan yang lain. Posisi serangan terakhir, saya amanahkan pada SOLAT BERJEMAAH. Satu kalimah yang sangat mudah ditutur tapi ianya sangat susah dilentur. Alhamdulillah, di bulan Ramadhan, kadar Jemaah yang datang untuk solat Maghrib dan Isyak berjemaah sangat mengkagumkan. Ini disebabkan mereka datang berbuka dan menunggu untuk solat Tarawih. Kita doakan keadaan ini berterusan sekalipun di bulan yang lain.

Kita tidak mahu datang ke masjid dengan tujuan yang tidak ikhlas. Moga kedatangan kita berjemaah dibulan ini, akan menjadi satu titik permulaan yang baik supaya kita berlumba-lumba pada kebaikan yang ada pada solat berjemaah. Posisi ini sengaja diletakkan di sini sebabnya solat berjemaah, bukan hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Seorang penyerang, sentuhannya perlu berbisa dan ganas. Fokus dan ketepatan rembatan sangat diperlukan bagi menjamin jaringan yang berterusan.

Kesimpulannya, kita bergerak dalam satu pasukan yang hebat. Kesemuanya perlu bergandingan dan bersungguh-sungguh sebelum masa permainan tamat. Amatlah sia-sia apabila minit sudah pun mencecah 90, ketika itu barulah sedar bahawa pasukan kita sudah ketinggalan pada pasukan lawan. Jadi, apa yang perlu kita buat? Posisikan Ramadhan kita dengan formasi yang betul. Pasukan nafsu hari demi hari penyokongnya akan bertambah. Gegak gempitanya menenggelamkan suara-suara kekuatan kita. Masihkah kita leka dan biarkannya menang di gelanggang kita? Tiada siapa boleh menjamin akan perlawanan ini masihkah ada pada tahun hadapan.

Pengurus yang hebat sekalipun tidak mampu membuat ramalan. Andai kita berjaya tundukkan pasukan lawan kali ini, InsyaAllah akan menjadi mudah bagi kita menundukkannya di masamasa yang akan datang. Kita berusaha, selebihnya serahkanlah padaNya bagi menjamin kemenangan kita merebut Piala Taqwa – Ao Tribe