Pernahkah kita berfikir dengan teliti tentang proses kejadian kita? Di mana titik permulaan kita sebagai seorang manusia?
Apa yang berlaku setelah air mani dipancarkan ke dalam rahim seorang wanita?
Pertemuan dua sel yang terlalu kecil membawa kepada peniupan roh oleh Allah s.w.t dan seterusnya menjadi manusia seperti kita. Dua sel yang bercantum itu mampu hidup dan berkembang menjadi manusia. Tidak mungkin proses yang hebat ini berlaku dengan sendiri tanpa ada kuasa yang mengawalnya.
Mari kita mengkaji persoalan tersebut, nescaya kita akan menemui satu fakta yang sangat menarik. Ketika itu, saiz kita terlalu kecil dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Kita hanya berupa satu sel yang boleh dilihat dengan menggunakan mikroskop sahaja. Tambahan pula, maklumat genetik yang terkandung di dalam badan kita tidak Iengkap iaitu hanya separuh daripada manusia biasa. Di sinilah bermulanya perlumbaan untuk mencari satu sel lain yang mengandungi separuh lagi maklumat genetik lain. Tanpa maklumat genetik yang separuh lagi, kita bukan sahaja tidak mampu menjadi manusia, bahkan tidak mampu untuk hidup melebihi lima hari setelah air mani memasuki rahim wanita.
Sel yang dimaksudkan iaiah sperma. Ia terkandung di dalam air mani seseorang lelaki. Sperma hanya mengandungi separuh daripada maklumat genetik seseorang lelaki, manakala separuh lagi terkandung di dalam ovum (sel telur) seseorang wanita. Percantuman antara sperma dengan ovum akan membentuk satu sel yang mengandungi kandungan genetik yang lengkap (separuh daripada Ielaki dan separuh lagi daripada wanita) dan akan menjadi manusia kelak.
Persaingan yang Hebat
Apabila berlaku ejakulasi semasa persetubuhan antara lelaki dengan wanita, terdapat kira-kira 250 juta sel (sperma) yang dibebaskan dan kita salah satu daripadanya. Destinasi setiap sperma ialah ovum yang satu. Ia dihasilkan di ovari dan bergerak ke tiub Fallopio untuk disenyawakan oleh salah satu daripada 250 juta sel tersebut.
Ini merupakan satu perlumbaan hebat dan lebih hebat daripada mana-mana rancangan The Amazing Race yang pernah kita saksikan di dunia ini. Perlumbaan ini disertai oleh 250 juta “orang” peserta, dan yang kecundang akan mati. Dalam seramai 250 juta sel tersebut, hanya satu yang akan dipilih sebagai juara, tidak ada tempat kedua mahupun ketiga.
Bersaing dengan 250 juta peserta bukanlah satu tugas mudah. Ditambah pula dengan beberapa rintangan dan halangan yang sangat mencabar di sepanjang perjalanan menuju ke destinasi. Secara kasarnya, jarak yang perlu ditempuh untuk sampai ke destinasi iaitu dari pangkal rahim ke tiub Fallopio kira-kira enam hingga tujuh inci. Secara perbandingan dengan saiz sperma, jarak yang perlu dilalui umpama melengkapkan lebih 100 pusingan kolam renang bersaiz taraf sukan Olimpik iaitu sejauh 60 kilometer.
Rintangan pertama yang perlu dilalui oleh sel- sel tersebut sebaik sahaja keluar ialah pangkal rahim. Kondisi pangkal rahim yang menghasilkan cecair berasid sangat tidak sesuai untuk sel- sel kerana berisiko menyebabkan kebanyakan sel terbunuh. Daripada 250 juta sel, hanya kira- kira 40 juta sel dapat melepasi halangan pertama ini dan selebihnya akan mati.
Namun, rintangan yang perlu dihadapi tidak hanya di situ. Sel-sel masih mempunyai jarak yang sangat jauh untuk ditempuh sebelum sampai ke destinasi. Terdapat pelbagai rintangan lagi yang perlu ditempuh dalam perjalanan yang begitu jauh dalam masa yang singkat. Dalam perlumbaan yang jauh itu, banyak sel yang kecundang kerana kehabisan tenaga. Ada pula
yang mati kerana dibunuh oleh sel-sel darah putih yang bertugas untuk menyaring bakteria dan juga bendasing daripada memasuki rahim. Ada pula yang tersesat ke arah lain dan tidak sedikit juga yang tersalah arah dan berpatah balik berpusing ke atas dan ke bawah seterusnya mati.
Secara puratanya, sel-sel ini hanya mampu hidup selama tiga hingga lima hari. Namun, perlumbaan perlu ditamatkan dengan segera kerana puratanya sel-sel tersebut boleh sampai ke destinasinya dalam masa 45 minit hingga satu jam. Sesiapa yang lewat akan kecundang, dan sesiapa yang menang akan dapat hidup dan terus hidup menjadi manusia!
Setelah 40 juta sel berjaya melepasi halangan di pangkal rahim, sebahagian besar sel-sel tersebut kecundang dalam perjalanan ke tiub Fallopio atas faktor-faktor yang disebutkan tadi. Daripada 40 juta sel, hanya kira-kira 100 sel yang berjaya sampai ke destinasi ovum.
Perlumbaan masih belum mencecah garisan penamat. Hanya seorang pemenang akan dipilih iaitu satu sperma sahaja yang akan masuk dan mensenyawakan ovum untuk menjadi manusia. Untuk bersaing dengan 100 sel lawan bukanlah satu tugas mudah, apatah lagi 250 juta sel lawan.
Dengan izin Allah s.w.t., satu sel sahaja yang berjaya menerobos masuk ke dalam sel ovum dan penyatuan berlaku. Satu sel tersebut ialah kita. Kitalah juara! Klta telah menjulang piala kemenangan sebagai permulaan berlakunya proses untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi.
Kita Juara!
Betapa kita telah bekerja keras dalam amazing race ini. Daripada 250 juta sel, kita termasuk dalam 40 juta yang melepasi halangan pertama. Dalam perlumbaan yang seterusnya, kita antara 100 yang berjaya sampai ke destinasi sejauh 60 kilometer. Dalam 100 sel yang sampai ke destinasi, kitalah yang terbaik. Kitalah yang berjaya membawa piala kemenangan untuk bertemu dengan “permaisuri”, seterusnya bermulalah proses untuk menjadi seorang manusia.
Apabila dua sel itu bertemu, maka sempurna kejadian satu sel yang akan menjadi seorang manusia. Maklumat genetik yang dibawa oleh pemenang akan bergabung dengan ovum untuk melengkapkan genetik seorang manusia. Daripada satu sel, ia menggandakan diri dengan cepat menjadi dua, empat, 16 dan seterusnya. Sel-sel tersebut terus menggandakan dirinya sehingga menjadi segumpal darah, lalu membentuk seketul daging. Sambil menggandakan dirinya, ia mula bergerak dari tiub Fallopio ke dinding rahim lalu menempel.
Subhanallah! Begitu ajaib proses kejadian manusia menurut hukum Allah s.w.t. Pertemuan dua sel yang terlalu kecil membawa kepada peniupan roh oleh Allah s.w.t. dan seterusnya menjadi manusia seperti kita. Dua sel yang bercantum itu mampu hidup dan berkembang menjadi manusia. Tidak mungkin proses yang hebat ini berlaku dengan sendiri tanpa ada kuasa yang mengawalnya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Kami telah menciptakan kamu, maka mengapa kamu tidak membenarkan? Maka terangkan kepadaku tentang nutfah yang kamu pancarkan. Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya?” (Surah al-Waqi‘ah 56: 57-59)
Apabila kita berasa lemah dan banyak kekurangan berbanding orang lain, ingatlah bahawa kitalah juara antara 250 juta peserta suatu ketika dahulu. Allah s.w.t. telah menciptakan kita melalui satu proses yang sangat hebat dan sempurna. Tentu sekali tujuan kita diciptakan untuk beribadat dan beramal soleh.
Allah s.w.t. berfirman, maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka). Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka bagi mereka pahala yang tidak putus-putus.” (Surah al-Tin 95: 4-6) Wallahu a‘lam.