Pilihanraya Tiada Di Dalam Politik Islam?

pilihanrayaDi kala kita merasai bahang pilihanraya umum ke 13 yang bakal berlangsung di Malaysia, saya suka untuk berkongsi sedikit ulasan tentang pandangan Islam terhadap konsep pilihanraya ini yang telah menjadi kaedah moden yang sangat penting dalam memilih pemimpin bagi sesebuah negara yang berteraskan sistem demokrasi.

Namun, ulasan di sini hanyalah satu keratan ringkas yang sekadar membahaskan tentang pandangan Islam secara umum terhadap pilihanraya.

Pengenalan

Seperti yang kita yakini, Islam merupakan agama yang mencakupi segala aspek di dalam kehidupan seorang manusia. Bermula dari sudut akidah, ibadah, akhlak, muamalat, adat, pentadbiran dan sebagainya. Hal ini menjadikan Islam satu-satunya agama dan ajaran yang paling efisyen dan relevan bagi sekelian manusia sekaligus dianggap sebagai agama yang paling pantas tersebar di seluruh dunia.

Di antara aspek penting yang turut menjadi konteks perbincangan Islam adalah aspek politik. Politik atau istilahnya di dalam Bahasa Arab ; السياسة telah menjadi isu besar yang sering dipolemikkan oleh banyak pihak pada hari ini. Namun begitu, Islam sejak lebih 14 kurun yang lalu telah pun menyentuh hal ini melalui wahyunya yang diturunkan kepada pembawa risalahnya iaitu Nabi Muhammad s.a.w samada di bawah konteks nas Al Qur’an mahu pun Sunnah. Bahkan bukan sekadar dituturkan dengan lisan semata-mata malah juga telah dipraktiskan dengan penuh bergaya oleh baginda s.a.w serta para khalifah ar rasyidin seterusnya diteruskan oleh para pengikut baginda pada kurun-kurun yang seterusnya.

Meskipun perkataan السياسة itu tidak pernah muncul di dalam nas Al Qur’an, namun ia tidak menafikan kewujudan makna dan intipatinya di dalam kitab suci tersebut. Hal ini samalah seperti perkataan العقيدة yang juga turut tidak disebut di dalamnya. Namun makna dan intipatinya memenuhi sebahagian besar isi kandungan Al Qur’an tanpa dapat disangkal.

Sesuai dengan takrif politik yang pernah dibentang oleh Imam Ibnu al Qayyim r.a di dalam Kitab ‘Ilam al Muwaqqi’in iaitu :

“ Perbuatan-perbuatan dan urus tadbir yang dijalankan di mana ia dapat mendekatkan manusia kepada kemaslahatan dan menjauhkan mereka dari kerosakan sekalipun ia tidak pernah disyariatkan oleh rasul dan tidak pernah diturunkan bersama-sama dengan wahyu ”.

Menurut takrif ini sahaja kita dapat memahami bahawa bidang politik ini tidak pernah terpenjara dengan sesuatu teknikal dan urus tadbir yang tertentu. Bahkan ia sentiasa anjal dan fleksibel sesuai dengan perkembangan ilmu, teknologi, uruf, zaman dan tempat. Hal ini turut dinyatakan di dalam asal kelima daripada usul 20 Imam Hasan al Banna r.a yang bermaksud :

“ Pandangan seorang pemimpin dan pembantunya di dalam konteks yang tiada nas dan membawa banyak kebarangkalian serta konteks yang mengandungi maslahah mursalah, maka pandangan tersebut boleh dipakai selagi ia tidak bertembung dengan kaedah syarak. Pandangan tersebut kadang-kala boleh berubah berdasarkan perubahan situasi, uruf dan adat. Dan asal bagi konteks ibadah adalah berbentuk pengabdian tanpa mempersoalkan makna di sebalik pensyariatannya. Manakala asal bagi konteks adat pula adalah melihat kepada rahsia, hikmah dan maqasid daripada pensyariatannya.”

malaysia mengundi

Pilihanraya & Pandangan Ulamak

Justeru, satu contoh terkini yang boleh kita kategorikan di dalam konteks ini ialah kaedah pilihanraya yang telah menjadi satu teknikal moden yang diamalkan oleh kebanyakan negara di dunia pada hari ini. Bahkan negara kita tercinta, Malaysia turut mengguna pakai kaedah ini dalam menentukan siapakah yang berhak menguasai tampuk pemerintahan bagi sesebuah kerajaan. Maka, menjadi satu kepentingan untuk kita perbahaskan perkara ini dengan sebaik-baiknya bagi mengetahui sejauh manakah pandangan Islam terhadap kaedah moden ini di dalam bidang politik Islam.

Terdapat perselisihan di kalangan ulamak dalam membahaskan tentang keharusan kaedah pilihanraya yang sedang diamalkan di kebanyakan negara di dunia pada hari ini termasuklah Malaysia. Justeru, kita akan lihat secara ringkas tentang pandangan mereka terhadap perkara ini beserta dengan dalil masing-masing.

 Ulamak yang tidak mengharuskan :

Dr. Muhammad Ra’fat Usman, Syeikh Soleh Fauzan, Syeikh Albani, Gerakan Salafi, Hizbut Tahrir dan yang sependapat dengan mereka.

Hujah :

– Kaedah ini tidak pernah diamalkan oleh umat Islam terdahulu.

–  Merupakan sebahagian daripada kaedah yang terdapat di dalam sistem demokrasi yang bercanggah dengan syariat.

–  Kaedah ini bergantung kepada asas majoriti dan asas begini dicela oleh Islam.

–  Tidak membezakan di antara suara golongan yang buta huruf dan sebaliknya.

Ulamak yang mengharuskan :

Muhammad Rasyid Redha, Hassan al Banna, Muhammad Abu Zahrah, Abu al ‘Ala al Maududi, Abdul Karim Zaidan, Yusuf al Qaradawi, Gerakan Ikhwan Muslimin dan yang sependapat dengan mereka.

Hujah :

– Asal bagi semua perkara adalah harus.

– Kaedah ini termasuk di dalam kategori perkara yang berbentuk adat. Maka tiada masalah untuk memperbaharu dan mencipta sesuatu yang baru di dalam perkara adat.

– Kaedah ini menyerupai kaedah bai’ah di mana ia mengungkapkan kerelaan pengundi terhadap individu yang diundi.

– Para ulamak turut mengiktiraf perbuatan umat Islam yang meniru atau menggunapakai kaedah dan sistem yang diambil dari pihak lain selagi ia tidak bercanggah dengan syariat. Hal ini seperti kaedah menggali parit (peperangan khandak) dan membentuk senarai gaji pegawai-pegawai kerajaan (zaman Saidina Umar al Khattab r.a) serta percetakan wang.

– Kaedah dan teknikal memilih pemimpin dan seumpamanya tidak pernah diikat dengan dalil yang hanya mewajibkan teknikal tertentu, bahkan ia diserahkan kepada ijtihad manusia mengikut kesesuaian zaman dan tempat mereka selagi tidak bertembung dengan asas-asas kaedah syarak.

-Terdapat dalil-dalil syarak khasnya sunnah Rasulullah s.a.w yang menunjukkan keharusan kaedah ini. Seperti arahan Rasulullah s.a.w ketika hendak melaksanakan perjanjian Aqabah : “Bawalah kepadaku 12 orang di kalangan kamu sebagai wakil bagi kaum mereka”. Ulamak membahaskan bahawa kaedah untuk memilih 12 orang ini sudah tentulah akan melibatkan kaedah mengundi atau pungutan suara daripada kaum mereka.

– Kaedah ini sesuai dengan kaedah-kaedah feqh yang telah disusun oleh para ulamak. Di antaranya ialah :

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

“Suatu perkara wajib yang tidak akan dapat dicapai melainkan dengan bergantung dengan satu perkara yang lain, maka perkara yang lain itu juga turut akan menjadi wajib”

Melantik pemimpin untuk menguruskan pentadbiran negara demi maslahat rakyat dan mengelakkan keadaan huru hara adalah satu kewajipan. Justeru, kaedah yang paling relevan dan dapat memuaskan hati semua pihak bagi memilih pemimpin adalah dengan kaedah pilihanraya. Maka kaedah tersebut secara tidak langsung turut menjadi wajib.

 الأمور بمقاصدها

“Setiap perkara itu bergantung kepada tujuan atau matlamat”

Kesimpulan daripada perselisihan ini, kita boleh lihat pandangan yang kuat dan sesuai dengan situasi pada hari ini ialah pandangan yang mengharuskan kaedah pilihanraya. Tambahan pula, sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia pada hari ini mendesak kepada umat Islam untuk menggunakan kaedah pilihanraya dalam menentukan kepimpinan yang bakal mencorak kehidupan mereka.

Pilihanraya : Adakah ia membawa konsep perwakilan atau penyaksian?

Sekiranya kita lihat kaedah pilihanraya yang diamalkan pada hari ini, kita akan dapati bahawa ia membawa dua konsep penting iaitu konsep perwakilan dan juga penyaksian sekaligus. Apabila kita menyebut konsep perwakilan, hal ini bermakna seorang pengundi itu mewakilkan urustadbir kawasan, atau negeri atau negara itu kepada individu yang diundi sebagai menggantikan dirinya yang mungkin tidak berkemampuan.

Namun, apabila kita mengaitkan tentang konsep penyaksian pula, maka ia bermakna bahawa kita menyatakan penyaksian dan pengiktirafan kita bahawa individu yang diundi itu berkelayakan untuk memimpin kawasan, negeri atau negara.

Pilihan Raya Kecil

Kedua-dua konsep ini secara tidak langsung menyedarkan kita bahawa betapa pentingnya usaha kita dalam menyertai pilihanraya sebagai pengundi. Ini kerana sebagai seorang individu yang hendak mewakilkan urusannya kepada seseorang, maka sudah pasti dia akan meyerahkan urusan itu kepada individu yang diyakini mampu menjalankannya dengan baik. Begitu jugalah apabila seseorang itu ingin menyatakan kesaksiaannya terhadap mana-mana individu, sudah tentu dia akan menyatakannya pada individu yang dilihat sebagai seorang yang amanah dan berkemampuan.

Pilihanraya Merupakan Hak & Kewajipan Rakyat

Justeru, tidak harus bagi mana-mana pihak untuk menghalang mana-mana individu yang berkelayakan untuk menyertai pilihanraya samada sebagai calon mahupun pengundi. Pada masa yang sama, sebagai seorang rakyat juga dia tidak boleh mengabaikan kewajipan ini kerana tindakan tersebut boleh menimbulkan mudarat dan mafsadah kepada negara. Justeru, pihak yang berwajib mempunyai hak untuk mengenakan sebarang peraturan yang dapat menjamin agar terpeliharanya hak dan kewajipan ini.

Islam Itu indah

Kesimpulan

Hasil daripada sedikit ulasan ini, maka kita sedar bahawa betapa indah dan hebatnya Islam dalam memandu umatnya ke arah kestabilan dan kesejahteraan dari semasa ke semasa. Meskipun dunia umat pada hari ini semakin berkembang pesat dari pelbagai aspek, Islam tidak pernah bersikap jumud mahupun konservatif dalam menyatakan pandangannya terhadap sesuatu perkara. Justeru, sama-samalah kita menyebarkan keindahan ini ke seluruh pelusuk alam dengan bermula daripada diri kita sendiri dengan mengamalkannya dalam bentuk yang paling terbaik.

Wallahu a’lam.

Sila Sebarkan dan kongsikan pada rakan-rakan yang lain

8 thoughts on “Pilihanraya Tiada Di Dalam Politik Islam?”

  1. Faris Al-Muhandisu

    Good info. Ada khilaf. So, kita boleh terima mana-mana pendapat yang kite lebih cenderung dan berlapang dada dengan pendapat yang bertentangan. Memang sistem pilihanraya dalam konteks hari ini tak wujud di zaman Rasulullah, namun prinsipnya ada. Setuju Islam tak pernah bersikap jumud dan luas pandangannya terhadap isu apa sekalipun. Yang penting, sikap kita tu untuk menerima pandangan2 para ulama’ yg muktabar tu. Selamat mengundi 🙂

  2. undilah sb utk menentukan spa harus mentadbir negara. tpi buakn unid dgn cara yang tak elok huhu..macam undi rosak misalannya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top