Jika Bukan Kerana Allah dan Rasul

Allah dan rasul

Sekiranya agama itu bukan dikhaskan hanya untuk Allah keseluruhannya, maka akan berlakulah fitnah. Asas agama adalah
mencintai, membenci, memberi ketaatan dan bermusuhan kerana Allah. Ibadat juga hanya bagi Allah, memohon perlindungan, takut, berharap, taat, menegah dan menjauhi kerana Allah. Dan ini semua dilaksanakan dengan mengikut contoh Rasulullah s.a.w. yang menyuruh melakukan sesuatu, menegahnya, taat dan bermusuh kerana Allah.
 
Pengikut hawa nafsu yang telah dibutakan dan ditulikan oleh nafsunya tidak akan ada matlamat untuk Allah dan RasulNya dan dia tidak akan mencarinya lagi. Dia tidak akan meredai sesuatu kerana Allah dan RasulNya. Dia juga tidak akan membenci kerana Allah dan RasulNya. Bahkan dia akan puas apabila dapat mencapai apa yang dituntut oleh hawa nafsunya, dan akan marah apabila mendapat apa yang dibenci oleh hawa nafsunya.
 
Di samping tindakannya yang buruk itu, dia juga mempunyai sifat syubhah iaitu menggunakan hujah agama apabila ingin
membincangkan keburukan pandangan ulama yang mereka tidak suka, maka digunakan istilah ulama al-jarh wa al-ta‘dil (disiplin yang digunakan oleh ulama hadis untuk menilai seorang perawi). Perkara yang dia reda dan benci baginya adalah benar kerana agama, mengikut sunnah, kebenaran dan agama yang hakiki!
 
Jika dianggarkan apa yang dia bawa sahaja yang benar bahawa perkara yang dilakukan itulah agama Islam, sedangkan dia tidak bermaksud untuk menjadikan agama ini milik Allah sepenuhnya, tidak menjadikan kalimah Allah itu sebagai perlembagaan yang paling tinggi, bahkan bertujuan menjaga kepentingan dirinya semata-mata serta para kroninya, riyak untuk membesarkan diri dan dipuji orang, mahu menunjukkan keberanian, kerana habuan dunia atau bukan jihad di jalan Allah, maka amalan itu membawa kepada fitnah.
 
Inilah keadaan orang berselisih yang memecah belah agama mereka, berpuak-puak serta mengkafirkan dan memfasiqkan antara satu sama lain. Allah berfirman, mafhumnya: “Dan tidaklah berpecah belah orang yang didatangkan Kitab (Taurat dan Injil) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata. Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat. Yang demikian itulah agama yang benar.” (Surah al-Bayyinah 98: 4-5)

1 thought on “Jika Bukan Kerana Allah dan Rasul”

  1. Start Business in Delhi

    I really appreciate your professional approach. These are pieces of very useful information that will be of great use for me in future.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top