Select Page

Rasuah(4)

Dalam menjalankan pemiagaan, kedengaran keluhan terpaksa bagi ”under-the-table”money (rasuah) baru dapat projek atau tender. Persoalannya, adakah perbuatan sebegini dilihat menjelaskan akidah kepada Allah sebagai Yang Maha Berkuasa dan Pemberi Rezeki kepada makhluknya?
 
Gejala rasuah sememangnya menjauhkan mereka yang terlibat daripada Allah. Setiap kali dilakukannya, mereka semakin jauh daripada rahmat dan keberkatan kurniaan Allah. Kesannya, harta dan wang yang mereka peroleh kering daripada keberkatan yang seterusnya akan mempengaruhi hati dan jiwa sesiapa sahaja yang terlibat menikmati harta haram terbabit.
 
Hari demi hari, mereka akan terasa semakin berat untuk melaksanakan ibadah, semakin mencintai dunia dan gemar akan maksiat. Itulah akibat harta yang tiada keberkatan.
 
Daripada keadaan buruk itu, sememangnya tidak dinafikan dosa yang mengeras di hati dan jiwa akan mula mengikis pegangan akidah seseorang. Keyakinannya bahawa Allah Pemberi rezeki akan mula terhakis sedikit demi sedikit. Inilah kesan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan sebagaimana yang disebut oleh Allah s.w.t.
 
Kerana itu Nabi mengajar kita untuk membaca setiap kali selepas solat:

اللَّهُمَّ لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدَّ مِنْكَ الْجَدُّ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, tiada sesiapa boleh menahan apa yang ingin engkau berikan, dan tiada sesiapa boleh memberikan apa yang engkau tahannya serta tiada daya dan guna lagi ketika itu pemilikan orang yang kaya (untuk pengaruhi penahanan dan kebenaran Allah).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
Juga penegasan Nabi s.a.w. ini, mafhumnya: “Seluruh umat jikalau mereka berpadu untuk memberi manfaat kepadamu, tidak akan mampu memberi manfaat kecuali dengan apa yang telah ditakdirkan oleh Allah untukmu. Sekiranya mereka berpadu untuk memudaratkanmu, tiada keburukan yang mampu menimpamu kecuali apa yang telah ditakdirkan ke atasmu.” (Riwayat al-Tirmizi)
 
Demikianlah, pentingnya menyedari dan menginsafi bahawa pendapatan dan rezeki kita tidak akan lari dan tidak boleh dirampas oleh orang lain. Juga amat penting sentiasa meyakini kekuasaan Allah dalam seluruh pendapatan dan rezeki.
 
Jangan sekali-kali terpesong akidah kerana ujian dunia dan manusia.
 
Situasi Sekarang
 
Sememang kita faham bahawa terdapat kontraktor dan peniaga yang baik-baik, namun dizalimi kerana tidak bersetuju untuk menyogok pegawai tertentu. Akibatnya, syarikatnya terus gersang daripada tender dan kontrak, sedang syarikat mempunyai pekerja yang perlu dibayar gaji dan aset yang perlu diurus tadbir. Semuanya memerlukan kos.
 
Jika keadaan seperti itu berterusan untuk jangka masa tertentu yang lama, tentunya syarikat terpaksa ditutup dan pekerja terpaksa dibuang. Pastinya ahli keluarga juga akan turut merana kerana itulah sumber periuk nasi mereka. Itulah yang sering terbayang di minda, namun tanpa disedari, bayangan negatif sememangnya cepat sangat muncul. Ada kalanya ia dikawal oleh nafsu dan mainan syaitan yang cuba mengubah persepsi kita supaya pendapatan yang haram dipandang seolah-olah tidak haram.
 
Sepatutnya pihak syarikat perlu bertindak lebih kreatif dan berusaha untuk mempelbagaikan cara kempen dan jualan agar ia tetap mampu terus berada di atas landasan urus niaga yang halal. Walaupun pendapatan mungkin hanya sedikit, namun kerana keberkatan daripada yang sedikit itulah, pasti akan membuahkan pulangan yang lumayan dalam bentuk yang pelbagai pada masa hadapan. Datangkan perasaan positif pada saat menghadapi sesuatu yang negatif, agar keyakinan yang masih berbaki dapat dijana sebaiknya untuk bergerak ke hadapan.
 
Baiklah, andaikan situasi benar-benar dalam keadaan hampir bankrap, tiada jalan lain yang terdekat untuk memasarkan produk dan hasil khidmat syarikat kecuali dengan memperoleh kontrak melalui jalan sogokan atau “duit kopi”. Hanya ketika ia benar-benar yakin bahawa keburukan sebegitu akan berlaku, barulah menurut para ulama Islam berdasarkan pelbagai dalil, sogokan dikira suatu hajiyyat yang terpaksa dilakukan bagi mengelakkan kezaliman. Hajiyyat ialah apa-apa yang diperlukan oleh manusia untuk mendapat kebaikannya dan mengatur semua perkara kepada keadaan yang lebih baik.
 
Contohnya seorang rakyat Malaysia dipenjarakan secara zalim di luar negara dengan tuduhan palsu, kemudian polis mereka meminta sogokan jika ingin bebas. Tatkala itu, dari sudut hukum dibolehkan untuk memberi dan tiada dosa ke atas pemberi, namun dosa akan ditanggung sepenuhnya oleh penerima dan peminta. Hal ini disebutkan oleh Imam al-Shawkani.
 
Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradawi menjelaskan: “Sesiapa yang kehilangan haknya, namun tidak mungkin mendapatkannya kembali kecuali dengan jalan sogokan atau akan berlaku kezaliman ke atasnya kecuali terpaksa memberi suapan wang, walaupun adalah lebih utama untuknya bersabar, namun jika tiada pilihan kecuali dengan menyogok wang, ketika itu yang berdosa ialah penerima sogokan sahaja.” (Nayl al-Awtar jil.8,hlm. 622; al-Halal wa al-Haram fi al-Islam,hlm. 301)
 
Keadaan di atas berdasarkan hadis riwayat Abu Ya‘Ia dan Ahmad. Jika dilihat di atas kertas, sudah tentunya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh mengambil tindakan, namun masalah yang wujud hari ini, pihak yang meminta rasuah amat bijak dan licik sehingga amat sukar untuk mereka yang dizalimi tadi memperoleh sebarang bukti bertulis atau rakaman jelas untuk disabitkan kesalahan rasuah.
 
Jangan Bermudah-Mudahan
 
Pun begitu, jangan ada sesiapa yang bermain-main dari sudut hukum dan undang-undang sewenang-wenangnya untuk menghalalkan yang haram tanpa justifikasi sebenar. Ingatlah, hari ini mungkin mereka boleh menjustifikasikan kononnya mereka terdesak, hajiyyat atau dizalimi, namun di alam barzakh kelak, kebenaran akan terlihat jelas.
 
Jika mereka sengaja menjadikannya sebagai alasan untuk terus meraih kontrak dan tender serta meraih keuntungan yang berlipat kali ganda, mereka tidak sama sekali tergolong dalam kumpulan yang diberi keringanan untuk menyogok. Malah ketika itu mereka ialah manusia yang terus-menerus menyokong sistem rasuah dan memakmurkannya. Bergandalah dosa si pemberi rasuah terbabit kerana kesudian mereka memberi rasuah, berterusan membuatkan peminta rasuah berasa berani dan seronok dengan amalan dosa mereka.
 
Nabi s.a.w. mengingatkan dalam hadis yang sahih, mafhumnya: “Takutlah kamu kepada Allah dan indahkan pencarian rezekimu (cara halal). Jangan disebabkan kelewatan kamu mendapat rezeki, kamu mencarinya dengan melakukan maksiat kepada Allah. Sesungguhnya ia (rezeki) itu di sisi Allah, dan kamu tidak akan dapatnya (rezeki berkat) kecuali melalui ketaatan kepadanya (Riwayat al-Nasa’i)