Sahabat sahabat pembaca yang dirahmati Allah dan dikasihi Rasulullah…
Mungkin ada diantara kita yang masih tidak tahu bahawa adat (kebiasaan) yang tidak bercanggah dengan syarak ia boleh bertukar menjadi ibadat jika adat tersebut disertai dengan NIAT.
Seorang yang meninggalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan Rasulnya tidak akan diberi pahala jika ia meninggalkannya jika semata-mata meninggalkannya kerana jijik dengan maksiat tersebut atau kerana takut dikenakan tindakan undang-undang,tetapi jika dia meninggalkan kemungkaran tersebut kerana takutkan Allah atau menuntut keredhoan Allah maka dia diberi pahala.
Seorang yang mandi pada pagi jumaat tidak akan diberi pahala jika mandinya itu sekadar adat kebiasaanya,tapi jika dia mandi kerana Allah atau kerana menghidupkan sunnah Rasulullah maka baginya pahala.
Demikianlah setiap adat yang menjadi amalan di dalam kehidupan kita seharian seperti makan,minum,tidur dan gosok gigi ia akan menjadi ibadat (diberi pahala) jika disertakan dengan niat, Itulah yang membezakan antara adat dan ibadat.
KAEDAH FEQH: “Al-Umuru Bi Maqasidiha”
Ertinya: Setiap perkara dinilai berdasarkan niat dan matlamat
Tunjang utama kepada kaedah ini ialah berasaskan hadis yang diriwayatkan oleh Amirul Mukminin Umar ibn al-Katthab:“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat,dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.
Siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya,maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya.Sesiapa hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya,atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya,maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu”(HR Bukhari dan Muslim)
PENGECUALIAN:
Beriman kepada Allah,berzikir,berselawat dan membaca Al Quran ia tidak memerlukan kepada niat MELAINKAN bacaan itu kerana tujuan tertentu seperti kerana menazar atau seorang Qori yang membaca al Quran kerana musabaqah atau membacanya kerana mengajar maka situasi ini perlu kepada NIAT.
– Rujukan:kitab kuliah Qawaid feqhiah tahun 4 kuliah syariah al Azhar Damanhur-