1. Dia mestilah seorang yang mengharapkan ‘Akhirat’ dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Mempunyai hati yang bersih, jauh daripada penyakit jiwa yang meruntuhkan amal dan usahanya.
2. Dia mempunyai akal yang kuat, berhikmah, cendekiawan, bijaksana, berpengalaman, berpandangan tajam, pembacaan yang luas, mampu mengetahui pelbagai perkara dari segenap sudut, pantas memahaminya dan cepat menggunakannya sebaik mungkin.
3. Berakhlak dengan sifat al-hilm.
4. Berani, bermaruah dan tidak melulu. Asal keberanian ialah ketetapan dan ketahanan hati, taat kepada Allah, tidak ada wahn (cintakan dunia dan takut mati), berani berterus terang dalam menyatakan yang haq, pandai menyimpan rahsia, sanggup mengakui kesilapan, insaf terhadap diri dan mampu mengawal kemarahan.
5. Bersikap as-siddiq dalam perkataan dan perbuatan.
6. Tawadhu’ – tidak membanggakan diri kepada manusia. Hatinya tunduk dan patuh pada al-haq.
7. Memaafkan dan ihsan terhadap perbuatan keji orang lain terhadap kita. Para pemimpin biasanya terdedah kepada pelbagai mauqif dan beraneka ragam manusia. Selalunya gangguan dan serangan ditujukan kepada jamaah melalui diri pemimpin. Jadi, wajiblah pemimpin menghiasi dirinya dengan sifat pemaaf, menahan kemarahan dan ihsan asalkan tidak membawa kepada kerendahan, kehinaan ataupun kerosakan yang menimpa maslahat syariat.
8. Menepati janji dan memenuhi sumpah setia. Akhlak ini melahirkan thiqqah dalam suasana amal, ketenteraman, tolong-menolong dan membawa hasil. Ketiadaan akhlak ini akan melahirkan syak wasangka, keraguan dan ketidakpercayaan orang lain dalam melaksanakan sesuatu urusan dan akan membawa kepada tergendalanya amal dan usaha. Akhirnya sebarang natijah tidak akan tercapai dalam urusan dakwah. Oleh itu dalam ‘Rukun Bai’ah’ perkara inilah yang terpenting sekali untuk disempurnakan oleh pemimpin dan anggota jamaah kerana ia adalah bai’ah bersama Allah. Memungkiri mana-mana Rukun Bai’ah adalah memungkiri bai’ah itu sendiri. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bahawasanya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan (kekuasaan Allah di atas tangan mereka. Maka barangsiapa yang melanggarnya, janji itu akan menimpa dirinya sendiri dan barangsiapa yang menepati janjinya kepada Allah, maka Allah akan memberinya pahala yang besar.”
9. Kesabaran. Jalan dakwah adalah panjang, sukar, dipenuhi dengan perkara yang berlawanan dengan kehendak hawa nafsu, penuh dengan onak, racun, rintangan, bencana dan ujian. Usaha dakwah yang didokong oleh Jamaah dan Harakah Islam adalah perkara yang besar dan berat, memerlukan usaha yang bukan sedikit. Semua ini memerlukan kesabaran yang amat tinggi.
10. Bersifat dengan al-iffah (suci hati jiwa dan amal) dan al-karam (pemurah dan tidak bakhil). Dengan sifat ini pemimpin tidak berminat dengan harta benda yang melemahkan kemahuan dan tidak sesuai dengan usaha serta jihad besar dalam menentang musuh-musuh Allah. Pemimpin mestilah menjadi qudwah melalui sifat pemurah dan mengutamakan kepentingan orang lain daripada kepentingan sendiri.
11. Adil dan insaf (terutama terhadap diri sendiri). Sifat ini amat penting kepada pemimpin dan mas’ul dalam amal jamaie kerana setiap individu akan merasa tenteram terhadap haknya dan menginsafinya.
12. Bersifat wara’ dan zuhud. Ini dapat menjauhi syubhat, meninggalkan perkara yang mengandungi dosa kerana takut terjebak ke dalamnya. Dia sentiasa bermuhasabah dalam segala hal dan setiap waktu.
13. Tidak mengungkit dan memperkatakan kebaikan diri sendiri. Jangan mengharapkan pujian dan sanjungan manusia dan tidak memuji diri sendiri atas segala usaha yang dilaksanakan dalam berdakwah.
14. Memelihara perkara yang dimuliakan oleh Allah (Hurumatillah). Setiap mas’ul dalam jamaah mesti menjadi pengawal dan penjaga yang sentiasa sedar, berwaspada dan dipercayai dalam memelihara ‘Hurumatillah’ dan segenap ajaran Islam supaya tidak timbul pencabulan hak atau perbuatan melampaui batas. Firman Allah yang bermaksud: “Dan barangsiapa mengagung-agungkan apa yang terhormat disisi Allah, maka itu adalah lebih baik baginya disisi Allah.”
15. Kesejahteraan hati, tidak menghiraukan umpatan dan adu domba di antara manusia. Perkara ini jika dilayan akan memberi ruang yang luas untuk dimasuki syaitan, memarakkan kebencian dan permusuhan. Akhirnya melahirkan perpecahan dan keributan dalam jamaah.
16. Keazaman yang kuat dan tawakkal yang tinggi kepada Allah. Pemimpin terdedah kepada pelbagai biah, peristiwa dan bebanan yang mempunyai natijah yang penting dan besar. Pemimpin dituntut menghadapi semuanya dengan azam, kekuatan, hikmah, tanpa kelemahan, keraguan dan menyerah kalah. Sentiasa berbaik sangka dengan Allah kerana dialah yang Maha Berkuasa di atas setiap perkara.